Monday, 14 November 2011

Mengajar Murid Menguasai Suku Kata

Salam sejahtera.
Semoga anda ceria dan sihat sentiasa, dikurniakan akal fikiran yang waras dan cerdas untuk sama-sama berbuat baik sesama insan.
Setelah murid menguasai abjad, guru perlu mengasingkan kumpulan murid ini dalam kumpulan lain untuk mereka mempelajari kemahiran suku kata.
Dalam bahagian ini, murid mesti belajar menguasai asas suku kata terlebih dahulu iaitu suku kata KV.
Andaikan dalam kelas ada lima orang murid yang akan belajar kemahiran suku kata KV. Guru sekurang-kurangnya mesti ada bahan bantu mengajar yang berikut :
  • kad imbasan suku kata pelbagai bersaiz A4
  • lembaran kerja suku kata bergambar
  • kad imbasan suku kata pelbagai bersaiz 1/4 A4
  • kad imbasan bergambar (tanpa sebarang abjad)
  • kad permainan – puzzle suku kata

Sebelum mengajar :
  • Pastikan murid sudah bersedia.
  • Rangsang minda murid dengan mengimbas kembali abjad yang telah mereka pelajari sebelum ini.
  • Uji penguasaan murid terhadap kemahiran mengenal abjad.
Semasa mengajar :
  • mulakan dengan konsonan ‘b’ + vokal ‘a’ – contoh ‘ba’, ‘ca’, ‘da’, ‘fa’, ‘ga’, ‘ha’ dan seterusnya.
  • guru tunjuk dan sebut – murid ikut.
  • lakukan latihan ini secara berulang.
  • Vokal ‘a’ mudah dikuasai oleh murid. Setelah mahir, tukarkan huruf vokal ‘a’ kepada vokal ‘i’, ‘o’, ‘u’ dan ‘e’.
  • vokal ‘e’ perlu diajar pada akhir sekali kerana ‘e’ mempunyai dua sebutan yang berbeza iaitu ‘e-taling’ dan ‘e-pepet’.
  • Edarkan gambar, kad imbasan suku kata pelbagai dan rangsang minda murid untuk menyesuaikan sebutan dengan gambar. Contohnya, gambar ‘GAJAH’ dipadankan sebutan suku kata awalnya adalah ‘ga’.
Selepas mengajar :
  • buat latih tubi berulang kali sehingga murid mahir
  • uji murid secara rawak
  • edar lembaran kerja untuk uji kefahaman dan penguasaan kemahiran murid
  • beri murid permainan puzzle cantum suku kata.
Perlu diingat, bukan semua murid akan dapat menguasai kemahiran ini pada hari berkenaan. Jika telah mahir sekalipun, kemahiran ini perlu sentiasa diulang-ulang supaya murid tidak mudah lupa akan kemahiran yang telah dipelajari.
Sekian,

No comments:

Post a Comment